Monday, June 1, 2026

Surah Al-Mudathir ayat 1-56 (MS 575-577)

 


Ayat 31 perlu difahami dengan baik. Kita kembali kepada sebab nuzulnya. Apabila ayat sebelumnya Allah menyatakan ada 19 penjaga neraka, kafir musyrikin mentertawakan bilangan yang sedikit itu. Menurut mereka apalah sangat dengan jumlah 19 penjaga neraka itu. Dengan jumlah mereka yang ramai, 19 penjaga neraka itu dapat dikalahkan dengan mudah. 

Ada seorang bernama Abu Al-Asyaddain bin Usaid bin Kaldah Al-Jamhi(Al-Harith bin Kaladah) mengucapkan kata-kata mengejek:

أنا أمشي بين أيديكم على الصراط فأدفع عشرة بمنكبي الأيمن، وتسعة بمنكبي الأيسر في النار، ونمضي فندخل الجنة.

"Aku akan berjalan di hadapan kamu di atas sirat, lalu aku tolak sepuluh dengan bahu kananku dan sembilan dengan bahu kiriku ke dalam neraka, kemudian kita terus berjalan masuk syurga." 

Dia dan kaum kafir Makkah lain seperti Abu Jahal yang mengejek jumlah 19 itu tidak faham dan ingatkan lawan mereka adalah seperti mereka. Lalu Allah sebutkan dalam 31 bahawa yang menjaga neraka itu adalah malaikat-malaikat yang jika satu malaikat pun tidak terbanding tenaga mereka dengan seluruh manusia sekalipun.

Dalam tafsir surah Al-balad ayat 5, didatangkan juga  kisah perkataan sombong Abu Al-Asyaddain ini. Ayat 5 surah Balad berbunyi:

أَيَحْسَبُ أَن لَّن يَقْدِرَ عَلَيْهِ أَحَدٌ (5)

"Apakah dia menyangka bahawa tidak ada sesiapa yang berkuasa ke atasnya?" 

Dalam ayat disebutkan "supaya ahli kitab merasa yakin" kerana bilangan 19 itu juga disebutkan dalam kitab taurat dan mereka pun tahu tentang itu.






No comments:

Post a Comment